Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izinNya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam proses mewujudkan program TID (Talent Identification and Development) yang dinamakan Program MyTID KPM-KBS bagi tahun 2021 hingga 2023 yang akan dijalankan secara Proof of Concept (POC).
Program ini dijangka akan membantu memperluaskan tapak penyertaan bakat- bakat baharu (Talent Pool) seawal usia tujuh (7) tahun yang berpotensi di peringkat akar umbi untuk dikenal pasti dan mengurangkan risiko drop-outs dan deselection. Inisiatif ini juga diharapkan dapat menambahbaik proses TID sedia ada (pendekatan saintifik baharu seperti penilaian kemahiran pergerakan motor dan kaedah penilaian kematangan (Bio-Banding).
Program MyTID KPM-KBS akan melibatkan seramai 500 orang guru tenaga penguji terlatih (dikenali sebagai Talent Eagle) serta sasaran penyertaan seramai 60,000 orang murid dari sekolah rendah (tahun 1-6). Kerjasama ini melibatkan semua Pejabat Pendidikan Daerah mengikut zon di Malaysia meliputi Zon Utara, Timur, Selatan, Tengah dan Malaysia Timur dengan anggaran 150 buah sekolah rendah dan ia dijangka akan dikembangkan secara meluas ke seluruh negeri mulai tahun 2021 hingga 2030 selari dengan aspirasi Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030).
Di samping itu, bagi meningkatkan pembabitan gaya hidup aktif seiring aspirasi dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan (sporting nation), saya berharap agar jalinan kerjasama ini dapat direalisasikan oleh semua pihak dalam memastikan kelestarian dan kesinambungan bakat sukan yang berpotensi di dalam ekosistem pembangunan sukan kebangsaan.