EKOSISTEM BAKAT SUKAN MALAYSIA
sukur2026-09-25T09:42:39+00:00MyTP mengakui kewujudan pelbagai program TID yang dilaksanakan secara berasingan oleh pelbagai pemegang taruh pada masa ini
Walaupun sesetengah PSK dan Persatuan Sukan Negeri telah memulakan program TID secara bersendirian, namun usaha tersebut seringkali dilihat tidak bersepadu dan dilaksanakan secara tidak konsisten serta memerlukan sokongan kewangan yang kukuh selain kapasiti pelaksanaan dan kepakaran teknikal yang terhad.
Justeru pendekatan yang selaras dan bersepadu adalah penting untuk memperkemas inisiatif sedia ada, mengoptimumkan penggunaan sumber, serta memastikan keselarasan hala tuju ke arah pencapaian objektif nasional yang dikongsi bersama. Penyelarasan sedemikian adalah kritikal bagi memupuk atlet secara berkesan dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat elit dan hanya boleh dicapai melalui kerjasama bersepadu antara kementerian dan agensi kerajaan, serta penglibatan aktif semua pemegang taruh yang relevan.
Penglibatan kanak-kanak sekolah dalam aktiviti fizikal (AF) dan sukan adalah penting untuk mengajar teknik dan prinsip asas selain menggalakkan penyertaan berterusan sepanjang hayat. Subjek Pendidikan Jasmani (PJ) di sekolah berfungsi sebagai platform penting untuk mempromosikan aktiviti fizikal, membangunkan Kemahiran Pergerakan Asas (FMS) dan mendidik kanak-kanak serta golongan remaja. Pendekatan ini akan menyumbang kepada gaya hidup yang lebih sihat dan meningkatkan peluang untuk mengenal pasti serta membangunkan potensi para juara sukan. Guru PJ memainkan peranan penting dalam mempromosikan AF dan sukan melalui program-program yang dianjurkan di sekolah.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia (IYRES), menyediakan Indeks Budaya Sukan Malaysia (IBSM) yang komprehensif bermula pada tahun 2018 untuk mengukur budaya sukan di Malaysia. Pada tahun 2023, Malaysia mencatat skor 55 (Sederhana) walaupun terdapat peningkatan usaha dalam mempromosikan sukan sebagai gaya hidup.
Berdasarkan kajian tersebut, hanya 48% responden yang menyertai sukan, manakala selebihnya tidak aktif dan berisiko menghidap Penyakit Tidak Berjangkit (NCD). Untuk mencapai status negara sukan, fokus tidak seharusnya tertumpu pada sukan berprestasi tinggi, tetapi juga pada pembangunan budaya sukan yang membawa negara ke arah masyarakat sejahtera secara holistik.
Dasar ‘Satu Murid, Satu Sukan’ yang dilaksanakan oleh Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan (KPM) pada tahun 2011, adalah salah satu usaha untuk menggalakkan penglibatan pelajar dalam sukan sebagai asas untuk menyokong gaya hidup yang sihat, aktif dan memuaskan, yang selaras dengan dua (2) objektif berikut:
