KOA CHENDERONG BALAI, PERAK

ISN Laksana Bateri Ujian MyTID di Jelajah Sukan Komuniti Orang Asli di Perak

CHENDERONG BALAI, 4 Oktober 2025 – Institut Sukan Negara (ISN) melalui Cawangan Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat (TID) telah melaksanakan bateri ujian MyTID sempena Program Jelajah Sukan Malaysia Aktif Komuniti Orang Asli 2025 yang berlangsung di Kampung Orang Asli Redang Punggor, Pasir Salak, Perak.

Seramai 40 anak-anak Orang Asli telah menyertai sesi bateri ujian MyTID yang dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kecergasan fizikal dan kecenderungan bakat dalam sukan dari peringkat akar umbi, sejajar dengan usaha ISN memperkukuh ekosistem pengenalpastian dan pembangunan bakat sukan secara saintifik dan inklusif.

Program anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia ini turut mendapat sokongan JBS Negeri Perak, JAKOA serta pelbagai agensi dan pertubuhan komuniti tempatan. Majlis perasmian disempurnakan oleh Pegawai Khas Menteri Besar Perak di DUN Sungai Manik, Tuan Haji Mohamad Maharani Md Tasi, dan turut dihadiri oleh pemegang taruh berkaitan.

Selain pelaksanaan bateri ujian MyTID, program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti senamrobik, sukaneka, pertandingan karaoke, sepak takraw, pameran agensi, jualan rahmah, program tukar minyak hitam percuma, dan kenduri kampung, yang menggalakkan penglibatan aktif komuniti setempat.

Share this post