TAKRIFAN BAKAT DALAM SUKAN

KEPENTINGAN PENGENALPASTIAN DAN PEMBANGUNAN BAKAT (TID) DALAM SUKAN

TID memainkan peranan penting dalam memupuk kecemerlangan atlet melalui pengenalan dan pemupukan potensi atlet muda secara sistematik. Bakat dalam sukan sukar untuk ditakrifkan secara tepat, tetapi secara umumnya merangkumi pelbagai kualiti yang berkaitan dengan kejayaan masa depan. Proses TID terdiri daripada beberapa komponen yang saling berkait, khususnya pengesanan bakat, kecenderungan bakat, pengenalpastian bakat, pembangunan bakat dan pemindahan bakat, di mana setiap satunya menyumbang kepada pertumbuhan holistik seorang atlet.

Pengesanan Bakat dalam sukan merujuk kepada proses mengenal pasti individu yang masih belum terlibat dalam sukan berstruktur atau berada di laluan berprestasi tinggi tetapi menunjukkan potensi untuk berjaya dalam bidang sukan berdasarkan gabungan ciri fizikal, fisiologi, motor, psikologi dan antropometrik (Pion, 2015).

Kecenderungan Bakat boleh berfungsi sebagai mekanisme motivasi yang membimbing individu, terutamanya kanak-kanak, dalam memilih sukan yang selari dengan ciri bakat spesifik mereka. Komponen ini melibatkan pemilihan cadangan sukan yang sesuai berdasarkan integrasi ujian kemahiran motor dan kecergasan fizikal dengan profil prestasi pelbagai sukan (Ochs et al., 2025). Pendekatan kecenderungan bakat juga diamalkan secara meluas di negara-negara yang menyokong pelaksanaan TID secara sistematik seperti Australia, Jerman, Belgium dan United Kingdom.

 

Pengenalpastian Bakat ialah proses di mana individu yang paling berbakat ditemui dalam domain tertentu dalam populasi homogen. Atlet yang berpotensi untuk mencapai prestasi terbaik dikenal pasti dalam disiplin sukan tertentu (Williams & Reilly, 2000). Selain itu, Pembangunan Bakat merupakan satu proses jangka masa panjang dan proses pelbagai aspek yang direka untuk mengoptimumkan peluang-peluang latihan melalui persekitaran yang kondusif, dengan matlamat utama untuk mencapai prestasi puncak.

Keupayaan Pemindahan Bakat (Teunissen, 2025) antara sukan juga memberikan peluang berharga kepada atlet berprestasi tinggi untuk membolehkan mereka mengaplikasikan kompetensi fizikal dalam pelbagai disiplin sukan. Secara gabungan, komponen-komponen TID ini menekankan kepentingan pendekatan berstruktur untuk meningkatkan kompetensi fizikal individu dan menyumbang kepada kejayaan keseluruhan program sukan.

Dalam konteks ini, MyTP menyediakan inisiatif yang selaras dan bersepadu di peringkat kebangsaan bagi pemegang taruh dalam ekosistem sukan, dengan matlamat membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara sukan. Untuk mencapai hasil yang diingini, MyTP menekankan kajian sistematik, menjadi penanda aras dan adaptasi kontekstual amalan terbaik antarabangsa dalam TID, memastikan pendekatan berasaskan bukti diselaraskan secara efektif melalui saluran pembangunan sukan kebangsaan.

Share this post