MENGAPA PERLUNYA MyTP?
sukur2026-09-21T09:13:04+00:00Sukan berfungsi sebagai agen perpaduan yang ampuh, dengan memupuk perpaduan sosial dan merapatkan jurang agama, komuniti dan politik. Seperti banyak negara lain, Malaysia telah berjaya memanfaatkan kuasa penyatupaduan sukan untuk memperkukuh keharmonian negara. Selain peranannya dalam mempromosikan perpaduan, sukan menyediakan landasan untuk atlet dari semua demografi untuk bersaing demi mencapai kecemerlangan dalam persekitaran yang selamat dan profesional.
Perjalanan seorang atlet dari peringkat akar umbi sehingga ke tahap juara adalah satu proses yang panjang dan mencabar, tetapi akhirnya memberikan manfaat kepada semua pemegang taruh, termasuk atlet itu sendiri. Untuk memastikan pembangunan jangka panjang atlet, pendekatan berstruktur yang menawarkan sokongan dan peluang yang konsisten adalah penting. Inisiatif TID telah menjadi asas ekosistem sukan Malaysia sejak tahun 1980-an, yang melibatkan pelbagai inisiatif daripada banyak agensi berkaitan. Integrasi program-program sedia ada dalam ekosistem sukan negara kekal penting bagi melahirkan generasi juara akan datang, terutamanya dengan sokongan kaedah baharu, teknologi inovatif dan kajian yang dijalankan serta dibangunkan dapat meningkatkan keberkesanannya.
Di peringkat global, negara yang maju dalam sukan telah membangunkan pelbagai model pembangunan bakat dan pelan strategik untuk memaksimumkan potensi dalam ekosistem sukan negara masing-masing. Sebagai sokongan kepada teras utama dan tonggak strategik Visi Sukan Negara (VSN 2030), MyTP telah digubal melalui kajian menyeluruh terhadap penanda aras antarabangsa, hasil yang terbukti dan amalan terbaik, sambil disesuaikan dengan persekitaran unik di Malaysia, konteks sosial dan keutamaan kerajaan. MyTP bertujuan untuk mewujudkan pengalaman sukan yang positif serta memupuk rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan semua pemegang taruh, sekali gus menyumbang kepada objektif kebangsaan yang lebih luas iaitu meningkatkan aktiviti fizikal, mempertingkatkan kesejahteraan dan membina masyarakat bersukan yang produktif serta dinamik.
