PROGRAM LIBAT URUS AKAR UMBI, PENGENALPASTIAN BAKAT (TALENT ID HOKI) & PROGRAM KEMAHIRAN HOKI – SIRI 1

25–26 Julai 2026 | Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur

Program Maybank Hockey Grassroots Talent Identification (Talent ID) Siri 1 telah berlangsung pada 25 hingga 26 Julai 2026 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, menghimpunkan seramai 457 peserta daripada dua kategori umur. Program anjuran Maybank dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN) melalui Cawangan Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat (TID) ini melibatkan 395 kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dari Kuala Lumpur dan Selangor yang menyertai Program Hockey Grassroots, serta 62 remaja berusia 16 hingga 18 tahun yang menjalani sesi Talent Identification (Talent ID).

Sepanjang program berlangsung, peserta mengikuti klinik asas hoki, menjalani saringan awal Talent ID, melaksanakan penilaian SportKompas I LIKE, serta menjalani Bateri Ujian MyTID yang dikendalikan oleh Cawangan Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat (TID), Institut Sukan Negara (ISN) bersama Talent Eagle (Tenaga Pengajar) Maybank. Penilaian saintifik ini bertujuan mengenal pasti profil fizikal, kompetensi pergerakan asas serta potensi prestasi peserta sebagai sebahagian daripada proses pengenalpastian bakat secara sistematik.

Pelaksanaan SportKompas I LIKE turut menerima maklum balas yang amat positif daripada ibu bapa yang menyambut baik pendekatan berasaskan sains sukan dalam membantu mengenal pasti kecenderungan minat serta potensi anak-anak ke arah pembangunan atlet secara lebih menyeluruh.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan ISN dan Maybank dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bakat sukan hoki di Malaysia melalui pendekatan yang menggabungkan pembangunan kemahiran, penilaian saintifik dan pengenalpastian bakat secara berstruktur, sekali gus menyediakan laluan pembangunan atlet muda yang lebih tersusun dan mampan pada masa hadapan.

Share this post