APAKAH ITU PELAN BAKAT SUKAN KEBANGSAAN (MyTP)?
sukur2026-09-21T09:14:30+00:00MyTP merupakan kerangka strategik kebangsaan yang dibangunkan untuk membimbing proses pengenalpastian, pemupukan dan pembangunan bakat sukan di seluruh Malaysia.
Sebagai model bakat kebangsaan, MyTP berperanan sebagai kerangka rujukan komprehensif bagi pemegang taruh dalam melaksanakan program Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat (TID) sedia ada dan untuk masa hadapan. Kerangka strategik ini bertujuan untuk digunakan oleh organisasi sukan (pasukan, kelab, negeri dan badan pentadbir sukan) bagi mengenal pasti, membangun, dan memupuk atlet secara sistematik untuk mencapai potensi penuh mereka, dengan sasaran utama untuk meraih kejayaan di peringkat antarabangsa.
Merupakan usaha kolaboratif untuk mewujudkan sinergi antara semua entiti melalui pendekatan yang lebih berstruktur dan bersepadu bagi menyokong ekosistem sukan Malaysia. Kerangka ini menyokong pemegang taruh bermula daripada fasa penyertaan, pengenalpastian awal di peringkat akar umbi, sehingga ke tahap prestasi elit di peringkat antarabangsa.
Dengan menggalakkan kerjasama, konsistensi dan amalan terbaik, MyTP bertujuan memastikan atlet diberikan persekitaran, latihan dan sokongan yang tepat bagi mencapai potensi penuh mereka, seterusnya menyumbang kepada kejayaan negara dalam sukan kompetitif.
AMALAN TERBAIK ANTARABANGSA
Penyertaan sukan dan Pengenalpastian dan Pembangunan Bakat (TID) membentuk dua tonggak utama dalam rangka kerja faktor-faktor Dasar Sukan yang menyumbang kepada kejayaan sukan antarabangsa (SPLISS 2.0) (De Bosscher et al., 2015).
Tonggak ini direka untuk matlamat jangka panjang dan bukan bertujuan menghasilkan kejayaan kompetitif secara serta-merta. Sebaliknya, pelaburan yang sistematik dan berterusan dalam penyertaan dan TID akan menyediakan asas berstruktur bagi memperluas serta mengukuhkan saluran atlet kebangsaan, sekali gus meningkatkan kebarangkalian untuk melahirkan atlet berprestasi elit secara mampan.
Di peringkat global, negara-negara yang maju dalam bidang sukan telah melaksanakan kerangka kerja pembangunan bakat berstruktur untuk diperkukuhkan bagi memastikan kesinambungan ekosistem sukan negara masing-masing. Antaranya termasuk:
Kejayaan yang terbukti daripada kerangka kerja ini dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi serta meningkatkan pencapaian sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, memberikan input bernilai dan panduan berasaskan bukti kepada Malaysia untuk memajukan pembangunan dan penginstitusian ekosistem pembangunan bakat kebangsaan.
Berdasarkan amalan terbaik, satu strategi berterusan dari peringkat akar umbi hingga ke tahap prestasi elit diperlukan untuk mencungkil potensi bakat dengan menerapkan pendekatan terkini yang membolehkan ramalan yang lebih tepat serta mengelakkan keciciran bakat (talent loss) pada masa hadapan.
Secara ringkasnya, semua inisiatif TID merangkumi kriteria berikut:
- Meningkatkan akses dan peluang menyertai aktiviti sukan,
- Menyediakan pendedahan kepada Kemahiran Pergerakan Asas [Fundamental Movement Skills (FMS)],
- Mengutamakan Pembangunan Multilateral; dan
- Memastikan pelaksanaan oleh Jurulatih dan Guru Pendidikan Jasmani (PJ) bertauliah.
VISI SUKAN NEGARA 2030 (VSN 2030)
Pelan ini juga diintegrasikan dalam Visi Sukan Negara 2030 (VSN2030), yang bertujuan untuk mewujudkan pengalaman positif dan rasa kepunyaan dalam kalangan semua pihak bagi memulakan perjalanan ke arah sebuah negara bersukan, dengan mengiktiraf keperluan untuk meningkatkan aktiviti fizikal bagi mewujudkan masyarakat yang lebih produktif.
